Hendak mencari calon Perdana Menteri pun bukan main susah. Berpusing-pusing. Itulah yang berlaku terhadap PH.

Ya, sekejap mahu Anwar Ibrahim, sekejap mahu Dr Mahathir Mohamad, sekejap lagi mahu Shafie Apdal.

Namun, untuk kemudiannya berubah lagi fikiran.

Ada apa sebenarnya dengan PH sehingga mereka tidak tetap pendirian, sebaliknya sering berubah-ubah bagai tidak yakin dan tidak ada persefahaman dalam kalangan mereka.

Menjelang PRU-14, PH sebulat suara mahu Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi calon.

Anda tahu apa yang berlaku pada Februari lalu.

Seluruh dunia tahu kejatuhan PH adalah juga disebabkan kebuntuan dan krisis yang berlaku selepas isu peralihan kuasa dibangkitkan.

Ada kalangan dalam PH mahu Mahathir terus memerintah, namun tidak kurang juga yang bertegas mahu ahli parlimen Port Dickson, Anwar.

Kesudahannya, Mahathir meletak jawatan dan PH tumbang.

Selepas itu dilaporkan Mahathir sendiri mahu sekali lagi  menjadi Perdana Menteri — ya bagai tidak puas  menjadi perdana menteri selama 22 tahun 22 bulan.

Inilah ironinya.

Selepas semua itu tidak menjadi, ada pula cadangan agar presiden Warisan dan juga Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal dicalonkan.

Hakikatnya, ini tidak logik kerana jumlah kerusi Parlimen Warisan hanya sembilan.

Mahathir mengumumkan pada 27 Jun bahawa parti komponen PH – DAP dan Amanah menyokong Shafie sebagai calon perdana menteri.

Mahukah PKR, Amanah dan DAP menerimanya?

Mengapa DAP dan Amanah terutamanya tiba-tiba berubah pendirian mahu menyokong Shafie?

Tidak mungkin PKR akan bersetuju kerana mereka mahu melihat Anwar yang sudah sekian lama kempunan, menduduki kerusi penting itu.

Banyak yang mempertikaikan pencalonan Shafie. 

Hari ini, dilaporkan setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ialah individu yang mencadangkan agar Shafie dipilih sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH).

Menurut  Dr Mahathir, Guan Eng yang mencadangkan Shafie jadi calon perdana menteri PH.

“Tetapi malangnya, walaupun cadangan itu datang daripada beliau, Lim kemudian patah balik dan kata calonnya Anwar Ibrahim.

“Saya awalnya tanya mereka adakah mereka benar-benar mahu Shafie dan mereka kata ya. Tetapi selepas mereka jumpa Anwar, mereka tukar,” katanya  seperti dilapor The Malaysian Insight.

Mahathir berulang-pulang kali menegaskan Anwar tidak popular.

Ya, seolah-olah beliau menyatakan dirinya lebih popular sedangkan hakikatnya Anwar lebih popular daripada Mahathir.

Kalau mahu dipercayai rakyat dan pengundi, PH harus punya pendirian tetap tentang calon PM yang akan menerajui negara jika ia menang dalam PRU-15 nanti.

Jangan beri gambaran kepada rakyat bahawa PH keliru dan tidak ada persefahaman. Ini akan menjejaskan peluangnya untuk menang dan dipercayai rakyat.