KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka mengumumkan keputusan permintaan Sarawak bagi mendapatkan semula satu per tiga kerusi Parlimen daripada Kerajaan Persekutuan pada bulan September ini.

Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuan-ku Jaafar memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak membincangkan perkara itu bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau mengakui mengetahui perincian perbincangan itu tetapi tidak dapat memberitahunya sehingga pengumuman Ketua Menteri atau Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilakukan.

“Ketua Menteri akan mengumumkan tidak lama lagi. Jika saya tidak silap pada September yang akan datang.

“Walaupun September terlalu jauh dan kita juga sudah lama menunggu, namun kita harap biarlah ia pengumuman yang menggembirakan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Pembangunan Kapasiti dan Promosi Koperasi di My Village Barok, Kampung Boyan, kelmarin.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menjelaskan bahawa, isu ini adalah perkara berkaitan pembentukan Malaysia pada 1963, yang membabitkan jumlah anggota Parlimen di Sabah dan Sarawak melebihi sedikit satu per tiga.

“Bagaimanapun, ketika Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965 – jika saya tidak silap – 15 kerusi Singapura pada masa itu, tidak dibahagikan kepada Sabah dan Sarawak.

“Jadi kerusi Singapura semuanya diserahkan ke Semenanjung, itu sebabnya kerusi itu berlebihan.

“Justeru, apa yang kita minta ialah supaya kerusi kita di Sabah dan Sarawak dapat dibahagi semula hingga jumlah kerusi Ahli Parlimen kembali ke angka asal seperti tahun 1963,” tegasnya.

Pada Khamis lalu, Abang Johari mengumumkan, amat penting untuk Kerajaan Persekutuan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan serantau setelah Singapura keluar daripada Persekutuan Malaysia pada 1965.

“Sabah dan Sarawak seharusnya mengekalkan satu pertiga daripada 222 peruntukan kerusi. Jika ini tidak berlaku, agihan kuasa di Parlimen banyak bergantung kepada Semenanjung Malaysia,” katanya ketika wawancara bersama-sama dengan Astro Awani di sini.

Sebelum Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, Semenanjung Malaysia mempunyai satu per tiga perwakilan, Sarawak 24 kerusi, Sabah 16 kerusi dan Singapura 15 kerusi di Parlimen.

Selepas Singapura keluar, peruntukan 15 kerusi tidak pernah diberikan ke Sarawak atau Sabah. Pada masa ini, Sarawak mempunyai 31 ahli parlimen dan 25 di Sabah.