KINI tercetus hangat spekulasi bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membubarkan parlimen secara mengejut.  Maksudnya, PRU-15 akan diadakan dalam waktu terdekat. Benarkah akan ada pilihan raya mengejut pada akhir tahun ini seperti diuar-uarkan dan dispekulasi banyak pihak?

Adakah kedudukan PN ketika ini goyah sehingga kedudukannya disifatkan setengah [bagai telur di hujung tanduk, sekali gus memaksanya untuk mengadakan pilihan raya mengejut?

Pada awal minggu ini, dalam pemilihan Speaker, Perdana Menteri membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat, tetapi kelebihannya itu terlalu kecil dan dianggap sesetengah pihak sebagai tidak selamat.

Ini dapat dilihat semasa usul PN yang diterajuinya berjaya menggugurkan speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.

Sebanyak 111 daripada 222 anggota parlimen mengundi menerima usul  Muhyiddin manakala 109 anggota parlimen menolaknya. Namun, bagi pihak lain, majoriti tetap majoriti walaupun kecil. Tun Dr Mahathir Mohamad popular dengan ungkapan menang satu undi juga satu majoriti.

Dalam keadaan sekarang, adakah pilihan raya umum jalan terbaik untuk  menangani sebarang ketidaktentuan secara muktamad?

Tentu Presiden Bersatu itu tidak akan mahu turun ke gelanggang  untuk kalah. Tentu, beliau perlu yakin terlebih dahulu sebelum gendang perang dipalu. Tidak ada pemimpin penyandang yang mahu tewas di medan perang dan mengubati luka  mendalam kemudiannya.

Ya, seandainya beliau cukup yakin bahawa dirinya akan kekal sebagai perdana menteri selepas PRU-15, barulah Muhyiddin dipercayai akan mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan. Hal ini untuk memberi laluan kepada pilihan raya sengit dan bakal menentukan siapa yang lebih berhak menerajui negara ini secara muktamad berdasarkan mandat terbaharu rakyat sekali gus mengikiskan terus imej dan tuduhan terhadapnya sebagai kerajaan pintu belakang.

Persoalannya, adakah Umno dan Pas terutamanya bersedia menyerahkan jawatan itu sekali lagi kepada Muhyiddin selepas PRU-15?

Inilah kelaziman baharu dalam politik yang dimulakan oleh PH apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri meskipun Bersatu pimpinannya hanya mempunyai 13 kerusi selepas PH menang dalam PRU-14. Sekali lagi amalan politik baharu itu berlaku apabila Muafakat Nasional – Umno dan Pas Bersatu –  menyerahkan kuasa itu kepada Muhyiddin dari Bersatu selepas PH tumbang pada Februari lalu gara-gara tindakan Dr Mahathir sendiri.

Seyogia diingat, zaman satu-satu parti tunggal mendominasi politik negara telah berakhir.Tiada lagi parti politik tunggal dapat  bertindak sesuka hati bak kaduk naik junjung.

Malah, tiada juga parti politik yang dapat mendabik dada dan mendakwa dirinya  kebal, kukuh dan tidak akan kecundang. Semua ini menuntut kebijaksanaan, kearifan dan kepintaran ahli politik untuk mengurus kelaziman baharu dalam landskap politik di tengah-tengah amalan politik yang semakin sukar dijangkakan.

Sejauh manakah ahli politik mampu menyeimbangkan antara kepentingan parti dengan kepentingan negara jika berlaku pergolakan, dan dia diuji untuk membuat keputusan yang sukar di tengah-tengah krisis berkenaan?

Adakah mereka akan mempersetankan prinsip, nilai dan moral atas nama agenda dan kepentingan peribadi, termasuk mandat rakyat dalam pilihan raya? Politik katak tidak harus dibiarkan  bermaharajalela merosakkan sistem demokrasi sehingga menghakiskan erti demokrasi.

Parti politik yang ada perlu menjalinkan kerjasama dengan golongan yang berbeza demi kepentingan rakyat dan  negara. Kalau kita gagal mengurus kerencaman politik negara ini dalam norma dan kelaziman baharu, kemungkinan besar krisis dan ketidaktentuan politik akan berlanjutan selepas PRU-15, kecualilah terdapat majoriti yang ketara di pihak yang menang.

Persoalannya, adakah Umno bersedia untuk berkorban dan berputih mata sedangkan ia mempunyai kerusi lebih banyak berbanding Bersatu.

Jumlah kerusi yang bakal dimenangi Bersatu dijangka semakin mengecil dalam PRU-15 nanti. Sebaliknya, Umno dan Pas akan mengukuhkan kedudukan dengan pertambahan kerusi. Dalam keadaan sedemikian, adakah Umno dan Pas mahu menjadi pemain nombor dua, dan bukannya pemain utama?

Kalau muafakat  termeterai antara Umno dan Pas dengan Bersatu  untuk menobatkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU-15, maka hal ini bermakna jalan ke hadapan adalah lebih cerah dan kurang berliku. Bersediakah Umno berkorban untuk bukan menjadi pemain utama sedangkan, harus diingat, parti tulang belakang BN itu juga mempunyai pemimpin yang layak?

Persoalannya, adakah Umno dan Pas sanggup memberi laluan kepada Muhyiddin?

Ketika ini, PH berdepan kebuntuan dan ketidaktentuan dengan perpecahan ketara antara puak yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Dr Mahathir.  Justeru, ini hadir kesempatan terbaik untuk PN. Serang musuh ketika ia berada dalam keadaan lemah.

Pergolakan dan ketindaktentuan politik perlu diselesaikan dengan muktamad. Hal ini baik untuk rakyat, negara dan parti terbabit. Keadaan politik yang tidak menentu disebabkan majoriti tipis memberi kesan besar kepada pelabur dan ekonomi negara.

Yang penting,  PRU-15 harus berupaya menyelesaikan kemelut dan ketidaktentuan secara definitif  dengan majoriti yang ketara. Kalau tidak, mungkinkah ketidaktentuan politik, akan berakhir?

Pilihan raya dapat merungkai  krisis, perselisihan dan ketidaktentuan atau ketidakstabilan dalam kalangan kumpulan yang berbeza ideologi, agenda dan kepentingannya.  Kita berharap ini jalan keluar terbaik demi menuju masa depan yang lebih meyakinkan.