KUCHING:  Jangan main-main . 

Jangan memanipulasikan dan sebarkan statistik terkini Covid-19 di Sarawak sehingga boleh mencetuskan kebimbangan dan kegemparan dalam kalangan orang ramai.

Awas, pihak polis akan menyiasat individu yang tidak bertanggungjawab  itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata arahan sudah diberikan kepada pihak polis untuk mengesan individu terbabit.

Jelas Uggah, berikutan gambar  dan angka tidak betul yang tular, beliau menerima banyak panggilan dari Kuala Lumpur dan  rakan-rakan dari banyak tempat menyatakan kebimbangan mereka. 

“JPBNS sangat kecewa dengan tindakan individu tersebut yang bermain dengan perkara serius ini,” tegasnya pada sidang media tentang Covid-19 di sini hari ini.

“Perbuatan tersebut menyebabkan kebimbangan di seluruh Malaysia,” katanya lagi.

Sarawak hari ini merekodkan satu kes Positif Covid-q9 di daerah Kuching menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini sebanyak 608.