KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran Malaysia meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei lalu berbanding 5.0 peratus pada April lalu, menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Sementara julat maksimum kadar pengangguran pula dianggarkan kira-kira 3.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun ini.

Menurutv Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, antara sektor pekerjaan yang paling terjejas adalah sektor pelancongan, pembuatan dan perkhidmatan dan tidak terkecuali golongan bekerja sendiri yang sebahagian besarnya terdiri daripada peniaga atau pengusaha kecil-kecilan.

Kumpulan pekerja di sektor itu katanya, terdedah kepada risiko kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan Perintah Pergerakan Kawalan (PKP).

“Sementara itu, data mengenai jangkaan pasaran buruh Jun 2020 mendapati indikator ekonomi bagi Mei lalu berbanding April 2020 menunjukkan ekonomi sedang beransur pulih,” katanya  pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini, pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) mengenai unjuran kadar pengangguran negara dan anggaran jumlah penduduk yang menganggur sehingga akhir tahun ini.

Saravanan memberitahu, di sebalik trend negatif dalam penawaran tenaga buruh hingga Mei lalu, keadaan ini telah bertambah baik jika dibandingkan dengan April 2020.

“Ini adalah hasil daripada pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan yang dilaksanakan kerajaan bagi mencapai sasaran tertentu,” jelasnya.

Antara lain kata Saravanan, lebih banyak perniagaan yang dibenarkan beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membantu menurunkan bilangan penganggur.