KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa terdapat tiga sebab Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan Perdana Menteri pada Februari lalu.

“Antaranya Dr Mahathir tidak mahu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri,” katanya melalui akaun Facebooknya.

Menurutnya, Ahli Parlimen Langkawi itu juga enggan dikawal Dap dan PKR serta bimbang PH dan Bersatu akan kalah teruk pada PRU akan datang.

“Mereka amat bimbang selepas kalah lima kali PRK berturut-turut kepada BN termasuk kekalahan paling teruk di kawasan parlimen sendiri. “Calon orang Melayu parti PPBM (Bersatu) kalah teruk kepada calon Cina di kawasan majoriti Melayu.

“Sebab itu, Mahathir sangat inginkan menjadi Perdana Menteri untuk sebuah kerajaan perpaduan.

“Beliau boleh pilih sendiri mana-mana ahli parlimen dia suka tanpa perlu mengikut kehendak parti,” katanya lagi.

Banyak pihak menganggap tindakan Dr Mahathir yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri menyebabkan kejatuhan kerajaan PH.

Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin menggantikan Dr Mahathir selepas menemu bual semua ahli parlimen untuk menentukan calon yang mendapat sokongan.

Krisis dalam PH berlaku susulan keengganan Dr Mahathir menyerahkan kuasa kepada Anwar walaupun itu janji PH menjelang PRU-14.