KUCHING: Tiada jalan singkat untuk mencapai kejayaan dalam dunia perniagaan, kata Pengarah Urusan Naim Holdings Berhad Datuk Hasmi Hasnan.

Untuk itu, kata ahli perniagaan terkemuka Sarawak itu, generasi muda yang mahu menceburi dan berjaya dalam bidang perniagaan perlu bekerja keras dan bersikap jujur serta berpegang kepada integriti.

“Saya masih bersemangat untuk bekerja tetapi perkara penting yang yang saya pelajari sejak 25 tahun lalu ialah sikap rendah hati,” jelasnya dalam wawancara dengan Sarawak Voice baru-baru ini.

Menurut beliau, selain menyediakan perkhidmatan dan produk yang terbaik kepada pelanggan, perkara utama ialah integriti kerana sukar mengukir kejayaan tanpa sikap berkenaan.

Beliau berkata, beliau berasa puas apabila dapat memberi balik sesuatu kepada masyarakat.

Ditanya tentang kejayaan syarikatnya merangkul banyak anugerah dalam tempoh 25 tahun lalu, Hasmi berkata, ia melambangkan kerja keras dan dedikasi pekerjanya sebagai satu pasukan padu.

Hasmi mengakui banyak melakukan kesilapan sepanjang perjalanannya sebagai ahli perniagaan.

“Saya banyak belajar daripada kesilapan itu,” jelasnya.