KUCHING: Semalam  tujuh kes positif Covid-19 dilaporkan di Daerah Kuching (6) dan Bintulu satu kes menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak setakat ini sebanyak 601 kes.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (PBNS), terdapat dua  kes import yang mempunyai sejarah balik dari luar negara. 

Katanya dalam satu kenyataan, kes pertama ialah warga tempatan yang baru balik dari Singapura pada 12 Julai 2020 dan transit satu malam di Kuching. 

“Semasa tiba di KIA Kuching, beliau terus dimasukkan ke pusat kuarantin hotel di Kuching dan telah meneruskan perjalanan ke Bintulu pada hari berikutnya. Saringan Covid-19 untuk hari kedua pada 16 Julai  mendapati beliau positif Covid-19,” katanya.

Seorang lagi kes, jelasnya juga warga tempatan yang baru balik dari Indonesia pada 5 Julai lalu melalui KLIA dan ke KIA Kuching pada 6 Julai  lalu. 

“Setibanya di KIA, kes telah dimasukkan terus ke pusat kuarantin hotel di Kuching bagi menjalani kuarantin 14 hari. 

Saringan Covid-19 hari kedua adalah negatif tetapi saringan kedua pada hari ke-10 adalah positif Covid-19 pada 17 Julai,” katanya.

Satu kes merupakan seorang warga tempatan yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif yang melibatkan Kluster Mambong. 

“Kes dikesan hasil pengesanan dan saringan ke atas kontak rapat dan ahli keluarga Kluster Mambong. Kes tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala. Ini merupakan penambahan satu  kes kepada jumlah kes positif Covid-19 di dalam Kluster Mambong menjadikan jumlah keseluruhan Kulster Mambong ialah lima orang,” ujarnya

Ujarnya lagi, satu kes melibatkan seorang wanita warga bukan warganegara tempatan yang telah menjalankan saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Batu Kawah bagi tujuan membuat perjalanan balik ke negara asal. 

“Beliau tidak mengalami sebarang tanda dan gejala. Saringan Covid-19 untuk ujian rT-PCR pada 17 Julai 2020 mendapati beliau positif Covid-19. Kes adalah jangkitan tempatan kerana kes tidak mempunyai sejarah perjalanan melawat ke luar negara sebelum tahun 2019,” katanya.

Satu kes, jelasnya melibatkan seorang warga emas warga tempatan yang berasal dari Sri Aman dan menetap di Kuching. 

“Beliau telah diarahkan untuk menjalani pemeriksaan bronchoscopy di Hospital Bau pada 17 Julai 2020 dan telah dibuat saringan swab rT-PCR sebelum pemeriksaan. Ujian saringan rT-PCR beliau adalah positf pada hari yang sama. Kes ini masih dalam siasatan lanjut,” ujarnya.