Ketika era pemerintahan Pakatan Harapan,  Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi pembangkang kerana sebelum ini GPS asalnya daripada BN Sarawak dan BN Nasional yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC, Gerakan  dan parti kecil dari Sabah telah tewas dalam pilihan raya ke-14 pada tahun 2018.

Selama 22 bulan GPS menjadi pembangkang, sebelum PH ditumbangkan. Selepas itu, dinamika politik berlaku apabila terdapat perbincangan tertutup  kalangan pimpinan Bersatu, Azmin Ali  dari PKR  bersama dan Hishammuddin Hussein dari UMNO dan Hadi Awang dari Pas untuk membentuk kerajaan tanpa penyertaan Dap.  

GPS turut serta dalam perbincangan ini dan pada mulanya Tun Mahathir dikatakan merestui penubuhan ini. Namun apabila penyertaan UMNO secara en bloc, Tun Mahathir menolak pandangan ini, seterusnya cuba mengemukakan  idea kerajaan perpaduan yang membolehkannya beliau melantik  sesiapa sahaja tanpa mengira pembangkang atau kerajaan untuk menyertainya.

Dengan idea kerajaan perpaduan tersebut, Mahathir melihat keuntungannya ialah beliau tidak terikat dengan parti dan boleh menguasai kerajaan secara dominan dan pada akhir penggal beliau boleh menyerah kuasa kepada sesiapa sahaja beliau mahu tanpa terikat dengan perjanjian penyerahan kuasa kepada Anwar sebagaimana  dipersetujui dalam Pakatan Harapan.

Namun idea Mahathir ini ditolak oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional khususnya UMNO. Puak pro Muhyiddin Yassin juga menolak idea ini. Maka, Mahathir gagal  mendapat sokongan  daripada pihak yang pernah direstukannya untuk rundingan  bentuk kerajaan baharu tanpa penyertaan DAP.

Muhyiddin Yassin pula mengumumkan Bersatu keluar dari Pakatan Harapan selepas mesyuarat Bersatu, manakala  Mahathir pula mengumumkan perletakan jawatan sebagai Perdana Menteri. Di sinilah Muhyiddin Yassin mengumpulkan sokongan daripada UMNO, PAS dan GPS dan parti kecil di Sabah untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional. 

Penyertaan GPS

Sudah menjadi pengetahuan umum, pada mulanya GPS menyokong  Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-8.  Namun, selepas itu, Mahathir meletak jawatan  dan  dilihat tidak konsisten dalam membuat pendirian. Menurut Abang Johari, “Initially we supported Tun Mahathir and after that he resigned. Then he resigned from Bersatu. Later he rejoined, left, right, left, right … what do you expect,” (New Straits Times, I March 2020). Fadillah  Yusof  juga pernah menyatakan  pimpinan Tan Sri Muhyiddin, Perdana Menteri kelapan “memerlukan GPS untuk sama-sama berada dalam Kabinet serta mentadbir negara dan mendepani senario politik dan ekonomi yang kian mencabar demi kepentingan nasional” (Utusan Borneo, 9 Mac 2020).

Foto FB Muhyiddin Yassin

GPS di Putrajaya

 GPS penting dan diberikan tempat dan kedudukan  di Putrajaya apabila menyokong penubuhan perikatan Nasional.  Hal ini  dilihat apabila pelantikan sebagai Menteri Kanan dan Menteri Kerja Raya, selain tiga Menteri penuh dan empat Timbalan Menteri yang diperuntukkan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah pengiktirafan buat rakyat Sarawak yang diumumkan pada 9 Mac 2020.  Sebelum ini terdapat lima jawatan timbalan menteri, namun Presiden PDP menolak jawatan timbalan menteri.

Menteri-menteri yang dilantik termasuklah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato Sri Nancy Shukri.

Di peringkat dilantik sebagai Timbalan Menteri  pula  ialah memegang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Dato Henry Sum Agong. Kesemua pelantikan ini mengukuhkan lagi kerjasama di peringkat nasional dan sumbangan Sarawak sangat signifikan dalam konteks tersebut.

GPS pula lebih selesa menggunakan  nama PN Plus GPS, tapi di peringkat nasional dikenali sebagai Perikatan Nasional sahaja.  Pendirian GPS ialah kekal sebagai entiti politik Sarawak mesra Kerajaan Persekutuan, dengan GPS  dan terus memperjuangkan hak-hak Sarawak, dan tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN).

GPS Penyelamat Perikatan Nasional

Sarawak memainkan peranan dan penyumbang penting kepada penubuhan Perikatan Nasional. Hal ini dilihat apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai 19 kerusi parlimen yang melengkapkan kerajaan Perikatan Nasional.

Tanpa GPS, kerajaan Perikatan Nasional tumbang.  Hal ini dapat dilihat apabila  usul menyingkirkan speaker Dewan Rakyat  Tan Sri Ariff Yusoff yang bersudahan menang tipis sahaja, iaitu perbezaan 2 undi apabila 109 undi menolak manakala 111 ahli menolak.

Bayangkanlah kalau sebahagian 19 wakil parlimen GPS mengambil keputusan berkecuali, menolak atau tidak hadir. Sudah tentu, Dewan Rakyat yang dikuasai oleh Perikatan Nasional secara tipis akan gagal meletakkan Azhar Harun sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru.

Hubungan Putrajaya-Petrajaya

Ketika Pakatan Harapan memerintah, Tun Mahathir dilihat kurang melaksanakan dasar berkaitan isu minyak dan Petronas. Namun kerajaan pusat pimpinan Mahathir memberikan bantuan sekali beri atau one-off  sebanyak RM400 juta kepada Kelantan, namun tidak dinyatakan sama ada wang itu berkaitan royalti dituntut daripada kerajaan Pusat ataupun tidak. Namun Sabah dan Sarawak tidak ada pemberian sedemikian.

Namun apabila Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, komitmen kepada Sarawak dilihat  lebih jelas apabila beliau membuat pengumuman pembentukan sebuah jawatankuasa rundingan di antara kerajaan Sarawak dan Petronas bagi menyelesaikan urusan berkaitan minyak, gas dan cukai. Fadillah Yusof Ketua Whip GPS dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz  dilantik sebagai pengerusi bersama.

Pengumuman persetujuan Petronas bersetuju membayar cukai jualan ke atas produk petroleum yang dikenakan oleh Sarawak sebanyak RM2 bilion bagi 2019 adalah menandakan hubungan baik Putrajaya-Petrajaya semakin pulih. Namun tuntutan Sarawak sebenarnya ialah RM 2.8 bilion mengenai cukai jualan minyak pada tahun 2019.

Walaupun Sarawak tidak mendapat keseluruhan tuntutan ini, namun ia memperlihatkan proses kemajuan yang progresif yang menunjukkan hubungan Putrajaya-Petrajaya bermanfaat dalam konteks hak-hak Sarawak yang termaktub dalam perjaniian Malaysia 1963.

Banyak lagi manfaat untuk Sarawak peroleh sesuai dengan penyertaan kepada Perikatan Nasional. Yang pasti, GPS dan Sarawak perlu mendapat tawaran terbaik ketika Perikatan Nasional kini berada dalam  ketipisan sokongan  di Putrajaya. 

Antaranya ialah perlu memastikan tuntutan agar Sarawak dan Sabah diberikan satu pertiga daripada kerusi di Parlimen dilaksanakan segera dan bukan sekadar retorik. Sarawak cuma mempunyai 31 kerusi parlimen manakala Sabah mempunyai 25 kerusi parlimen dan keseluruhannya ialah 56 kerusi parlimen. Ternyata ia kurang 18 kerusi untuk membentuk satu pertiga sesuai dengan kedudukan asal ketika perjanjian Malaysia 1963.

Apa pun, pada penghujung Julai ini, Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri dijangka  akan mengadakan lawatan pertama ke Sarawak.  Inilah lawatan pertama beliau sejak menjadi Perdana Menteri ke-8.  Moga-moga lawatan ini akan membawa pelbagai pengumuman dan berita baik kepada rakyat dan pembangunan di Sarawak. 

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.