KABONG: Dua lelaki yang membawa dadah jenis Syabu diberkas polis di kawasan Jalan Tanjung Kembang Kabong malam tadi.

Tangkapan dilakukan oleh sepasukan polis dari IPD Saratok yang menjalankan tugas rondaan pencegahan dadah.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin mengesahkan perkara berkenaan dan menjelaskan tangkapan tersebut dibuat kira-kira jam 11.10 malam.

“Pada jam lebih kurang 11.10 malam sepasukan polis IPD Saratok terdiri daripada lima anggota telah menjalankan tugas rondaan pencegahan di Jalan Tanjung Kembang Kabong dan telah terserempak dengan sebuah kereta kancil warna putih.

“Anggota kemudiannya telah membuat pemeriksaan terhadap dua lelaki di dalam kereta tersebut. Hasil pemeriksaan telah menjumpai satu plastik lutsinar yang mengandungi 7 paket plastik kecil yang berisi ketulan kristal yang dipercayai dadah jenis Syabu di dalam gengaman tangan sabjek dan sabjek mengaku memiliki dadah tersebut dengan anggaran berat lebih kurang 6.2 gram,” ujarnya.

Kedua-dua suspek yang berumur 41 dan 37 tahun kemudiannya ditahan dan ditangkap dibawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 seterusnya dibawa ke Balai Polis Kabong untuk tindakan selanjutnya.

Kedua-dua suspek akan dimohon reman selama empat hari bermula 19 Julai sehingga 22 Julai Untuk siasatan lanjut.