KUCHING: Peningkatan isu penyalahgunaan dadah di negeri ini membimbangkan kerana memberi impak besar kepada masyarakat.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, masalah itu disebabkan beberapa kekangan yang dihadapi pihak berkuasa dalam menanganinya.

“Beberapa isu dan cabaran dikenal pasti oleh pihak terlibat dalam usaha menangani masalah ini di Sarawak. “Ia termasuk masalah peruntukan dan peralatan untuk mengesan operasi ini bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sempena pembentangan laporan berkala Jawatankuasa Pusat Sehenti bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Sarawak di Bangunan Baitulmakmur, kelmarin.

Menurutnya, agensi terlibat memerlukan kelengkapan yang mencukupi termasuk penggunaan teknologi dron bagi tujuan pemantauan terhadap kes ini.

Justeru, kementerian memutuskan untuk menempatkan isu berkenaan di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan tahap keseriusannya yang semakin tinggi dalam kalangan masyarakat.

“Terdapat banyak kebaikan yang kita dapat menerusi jawatankuasa baharu kerana ia memudahkan saluran peruntukan untuk sebarang masalah yang dihadapi. “Pertukaran bidang kuasa ini mampu meningkatkan tahap kecekapan dalam menangani isu dadah berlandaskan bidang tugas masing-masing,” ujar Fatimah.

Berdasarkan laporan, isu penyalahgunaan dadah berpunca daripada pelbagai faktor termasuk keluasan negeri Sarawak yang besar serta kewujudan laluan haram yang digunakan.

Dengan persetujuan Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan KanakKanak bersamasama agensi yang terlibat, isu ini ditempatkan di bawah bidang kuasa MKN untuk memastikan cara penyelesaian yang terbaik.