KUCHING: Sebanyak 24 kompaun telah dikeluarkan terhadap 14 lelaki dan 10 wanita warga tempatan kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika berada di sebuah premis di Jalan Carpenter Kuching malam tadi.

Kesemua yang terlibat adalah pelanggan dan juga pengusaha premis tersebut yang kemudiannya telah diarahkan ke Balai Polis Sentral Kuching dan kompaun telah dikeluarkan kepada kesemua mereka.

Dalam satu kenyataan Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching ACP Awang Din menjelaskan pada 17 J ulai 2020 jam lebih kurang 10.35 malam sepasukan polis diketuai oleh Ketua Polis Balai Sentral iaitu ASP Haji Ahmad telah membuat pemantauan dan pemeriksaan di sebuah premis Cafe di Jalan Carpenter Kuching.

“Dalam pemeriksaan tersebut telah mendapati bahawa premis tersebut gagal mematuhi SOP iaitu penjarakan sosial dimana pelanggan yang datang dilihat duduk dalam jarak yang terlalu rapat di antara satu dengan yang lain.

“Sepatutnya pengusaha premis menerapkan norma baru iaitu penjarakan sosial seperti mana yang disarankan oleh pihak kerajaan. Kompaun dikeluarkan atas kesalahan mengikut Peraturan 3, PPPPB (No. 7) 2020. Bagi kompaun yang telah dikeluarkan tersebut, ianya perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuching dalam tempoh 14 hari,”ujarnya.

Tambahnya lagi, ketegasan pihak PDRM dalam menguatkuasakan Pematuhan SOP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dizahirkan dengan mengeluarkan kompaun kepada orang awam yang gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Beliau turut memaklumkan, sepanjang tempoh PKPB dan PKPP yang bermula dari 8 Mei 2020 hingga 17 Julai 2020 seramai 48 orang telah diambil tindakan kompaun atas kesalahan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak SDMC dan kerajaan.

Daripada 48 kompaun, 7 lelaki dikompaun di premis kedai makan atas kesalahan tidak mengamalkan penjarakan sosial dan 2 lelaki lagi dikompaun kerana premis tersebut tidak menyediakan alat pengimbas suhu badan. Selain itu, seramai 39 orang ( 22 lelaki dan 17 wanita) dikompaun di dua kedai Bistro yang berlainan di sekitar Kuching atas kesalahan tidak mengamalkan penjarakan sosial.

ACP Awang Din menegaskan sekali lagi bahawa pihak polis IPD Kuching amat memandang berat aspek pematuhan SOP di semua jenis premis dan pusat perniagaan komersil sebagai usaha dan tanggungjawab bersama dalam mencegah penularan wabak COVID-19.