SARATOK: Satu lagi tangkapan berkaitan judi online dilakukan dalam Op Dadu yang dilakukan oleh pihak plois hari ini.

Kali ini pihak polis melakukan serbuan di sebuah pondok tepi jalan di kawasan Nyabor Kabong.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin mengesahkan perkara berkenaan dan menjelaskan tangkapan tersebut dibuat kira-kira jam 3.50 petang tadi.

“Dalam serbuan itu seorang lelaki berumur 28 tahun berada di dalam pondok tersebut. Subjek tersebut disyaki sedang menjalankan kegiatan judi haram iaitu penjualan ‘reload” atau kad tambah nilai untuk judi secara ‘online’.

“Setelah diperiksa didapati barang-barang yang digunakan untuk penjualan ‘reload’ judi ‘online’ berada bersama lelaki tersebut.

“Pihak polis telah merampas satu unit telefon bimbit jenama Oppo A83 beserta satu sim kad Maxis yang ditanda MH1.Satu keratan kecil kertas bertulis ID Judi Atas Talian yang ditanda MH2 dan  wang tunai campur-campur berjumlah RM 140.00.

“Penama tersebut kemudiannya di tangkap dan di bawa balik ke Balai Polis Saratok untuk siasatan lanjut di bawah Sek. 4(1)(c) ARJT 1953 kerana menjalankan kegiatan Judi ‘online’.Reman akan dipohon untuk suspek esok,” ujarnya