BDS Malaysia memuji dan menyokong sepenuhnya resolusi yang diluluskan oleh parlimen Malaysia semalam yang meminta kerajaan Malaysia bekerjasama dengan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) untuk mendesak pengusiran Israel dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Hakikat bahawa resolusi itu disahkan sebulat suara dan disokong sepenuhnya oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang di parlimen harus disambut baik dan menunjukkan bahawa ahli politik dan masyarakat yang mereka wakili mampu bersatu hati di dalam isu Palestin.

Sesungguhnya rakyat Malaysia bersatu dalam keinginan untuk melihat keadilan bagi rakyat Palestin dan pembebasan Palestin dari belenggu Zionis.

Seperti yang diketahui umum, Israel sudah lama menunjukkan penghinaan terhadap PBB. Ia adalah negara yang paling kerap menerima undian PBB yang menentangnya.

Namun ia terus melakukan pelanggaran sistemik terhadap hak asasi rakyat Palestin dan terus mencuri tanah Palestin walaupun terdapat resolusi PBB mengutuk tindakannya.

Rancangannya untuk merampas satu pertiga dari Tebing Barat yang diduduki oleh nya adalah contoh terbaru mengenai pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh nya.

Sudah tiba masanya negara apartheid Zionis diperlakukan sebagai negara buangan. PBB harus mengusirnya dari masyarakat antarabangsa dan tidak mempertimbangkan menerimanya kemasukanya kembali sehingga ia menghormati dan mematuhi resolusi PBB terhadapnya.

BDS Malaysia mengulangi sokongan penuh kepasa semua langkah untuk memboikot dan mengasingkan Israel. Masyarakat antarabangsa wajib menekan Israel untuk mematuhi semua kewajibannya terhadap undang-undang antarabangsa, khasnya dengan:

• Mengakhiri pendudukan dan penjajahan seluruh tanah Arab dan meruntuhkan tembok pemisah;
• Menghormati hak asasi rakyat Arab-Palestin Israel untuk mendapat kesaksamaan sepenuhnya; dan
• Menghormati, melindungi dan mempromosikan hak-hak pelarian Palestin untuk kembali ke tempat asal mereka yang ditetapkan dalam Resolusi PBB 194.

Kenyataan media BDS Malaysia