KUCHING: Kini bertiup kencang berita kemungkinan PRU-15 dan PRN-12 Sarawak akan diadakan serentak.

Bagi Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing, sebaik-baiknya kedua-dua pilihan raya berkenaan diadakan serentak.

Menurut Masing, isu pilihan raya dijangka dibincangkan dengan Perdana Menteri Tan Sri Mahyuddin Yassin  dalam kunjungannya ke Sarawak pada akhir bulan ini.

“Sudah pasti isu pilihan raya merupakan satu daripada isu yang bakal dibincangkan dengan beliau,” jelas Masing yang juga Presiden PRS.

Kata beliau, memandangkan PRN Sarawak sudah semakin dekat, adalah wajar PRU-15 juga diadakan bagi mengelak daripada ketidakstabilan politik.

“Jadi saya harap apabila PRN diadakan, PRU juga akan diadakan. Ini akan selesaikan isu berkenaan secara tuntas,” katanya lagi.

“Biar rakyat Malaysia tentukan siapa bakal menjadi Perdana Menteri. Selepas itu kita akan dapat membina negara pasca Covid-19,” tegas Masing.

Sejak 1963, Sarawak mengadakan 10 pilihan raya negeri iaitu pada 1969-1970, 1974, 1979, 1983, 1987, 1991, 1996, 2001, 2006 dan 2011. 

Tetapi bermula 1979, pilihan raya negeri dengan pilihan raya umum diadakan pada tahun berlainan. 

Pilihan raya negeri yang ketiga hanya diadakan pada 1979, setahun selepas pilihan raya umum 1978, sekali gus mengukir sejarah pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum diadakan berasingan.

Akhir Februari lalu, Ketua Menteri  Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak memberi jawapan definitif apabila ditanya kemungkinan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan pilihan raya umum sekiranya perkembangan politik terkini membawa kepada pembubaran Parlimen.

Beliau berkata keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibuat pada masa yang sesuai.