DARO: Adun Daro Safiee Ahmad memberi jaminan beliau tetap komited untuk melaksanakan Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).

Menurutnya, usaha tersebut membolehkan lebih banyak projek PPRMS dapat dilaksanakan, sekali gus membantu lebih ramai golongan kurang berkemampuan di kawasannya.

“PPRMS merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk meneruskan kesimbungan membantu rakyat miskin di negeri ini. “Projek ini memastikan mereka yang layak, dibantu.

Supaya kediaman uzur dibaik pulih dengan harapan mereka dapat tinggal di kediaman yang lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan PPRMS mampu memberi kesan mendalam secara langsung kepada rakyat. Malah katanya, rakyat yang layak menerima bantuan itu banyak menerima manfaat daripadanya.

“Setakat ini, seramai 198 orang layak menerima bantuan di bawah PPRMS di kawasan Dun Daro.

“PPRMS dapat mendekatkan pemimpin atau wakil rakyat dengan penduduk selain membantu mereka mendapatkan tempat tinggal lebih selesa dan selamat.

Hadir sama, Penghulu Pangtray dan Lemang Pek, Jebli Ngok.