KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (Tegas) mempelawa pelajar sekolah untuk menyertai program digital anjuran mereka bagi meneroka minat, belajar dan mencipta sesuatu yang baharu.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Tegas Datuk Len Talif Salleh berkata, Program Tegas #Makers Challenge adalah program digital yang berasaskan bengkel dan pertandingan bagi memupuk pelajar sekolah berkongsi idea demi menghasilkan produk fizikal dan digital yang inovatif.

“Pertandingan ini sejajar dengan objektif digital inovasi dan keusahawanan di bawah Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018 – 2022 untuk memupuk budaya inovasi dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika mengumumkan Program Dalam Talian Tegas baru-baru ini.

Jelasnya, program tersebut merangkumi dua bahagian iaitu DIY Online Makers dan Makers Workshop and Challenge. “Pendaftaran bagi DIY Online Makers bermula pada 20 Julai sehingga 10 Ogos dan program bermu pada 17 Ogos sehingga 16 September ini.

“Manakala Program Makers Workshop and Challenge pula akan bermula dari pada 1 September hingga 17 Oktober,” katanya lagi. Selain Program Tegas #Makers Challenge, Tegas turut menanjurkan program Stem@Home iaitu sebuah rancangan TV Online untuk kanak-kanak dan pelajar bagi menarik minat mereka dalam bidang Stem.

“Program yabg menampilkan watakwatak Ciko dan Ciki ini akan bermula pada 13 Julai hingga 31 Disember ini. “Program ini merangkumi tiga sekmen penting iaitu eksperimen dan demostrasi, fakta Stem dan kuiz,” tambahnya.

Sementara itu, bagi Program Stem Virtual Fair 2020 kanak-kanak boleh menerokai aktiviti terus secara simulasi dalam talian pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja pelajar berada, termasuk ketika berada di rumah.