BUENOS AIRES: Argentina berusaha menyelesaikan misteri perubatan selepas 57 pelaut dijangkiti Covid-19 setelah 35 hari berada di lautan, sementara seluruh kru lain diuji negatif sebelum meninggalkan pelabuhan.

Kapal pukat tunda Echizen Maru itu kembali ke pelabuhan selepas beberapa anak kapal mula menunjukkan gejala Covid-19, kata kementerian kesihatan bagi wilayah selatan Tierra del Fuego.

Menurut kementerian itu, 57 pelaut daripada 61 anak kapal didiagnosis dengan virus itu selepas menjalani ujian saringan baharu.

Terdahulu, kesemua anak kapal menjalani kuarantin wajib 14 hari di sebuah hotel di bandar Ushuaia. Sebelum itu, semua hasil ujian saringan ke atas mereka menunjukkan keputusan negatif, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Sementara itu, dua kelasi lain diuji negatif dan dua lagi masih menunggu keputusan ujian saringan, kata jawatankuasa operasi kecemasan wilayah. Dua kelasi dimasukkan ke hospital.

“Sukar menentukan bagaimana kru kapal ini dijangkiti, memandangkan mereka 35 hari berada di laut. Mereka tidak mempunyai kontak dengan daratan dan bekalan hanya dibawa dari pelabuhan Ushuaia,” kata pengarah penjagaan kesihatan utama di Tierra del Fuego, Alejandra Alfaro.

Satu pasukan meneliti “kronologi gejala dialami kru terbabit untuk menentukan kronologi penularan,” katanya.

Argentina merekodkan lebih 100,000 kes pada Ahad, dan angka kematian meningkat kepada 1,859.  Sebilangan besar jangkitan berlaku di Buenos Aires.