KABONG: Kehadiran murid Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong untuk hari pertama pembukaan sekolah selepas bercuti lebih empat bulan akibat Pandemik Covid-19 turut disambut oleh ADUN Kabong Mohd.Chee Kadir pagi tadi.

Chee dan isteri Meryani Haji Yasin hadir jam 6.25 pagi untuk bersama-sama warga pendidik bagi menyambut kedatangan murid dan melihat sendiri suasana dan perjalanan hari pertama pembukaan sekolah tersebut.

Ketika tiba di pintu masuk sekolah semua murid dan warga sekolah melalui sesi imbasan suhu badan dan juga imbasan Kad QR Code atau tepatnya Kad Kod Respons Pantas (Quick Response Code Card ) yang telah disediakan oleh pihak sekolah.

Sebaik kesemua murid selesai memasuki kawasan sekolah Chee bersama Guru Besar SK. Abang Leman, Mokhtar Jaya terus bergerak melakukan tinjauan ke kawasan kelas bagi melihat persiapan yang dilakukan oleh pihak sekolah untuk melalui sesi persekolahan dalam norma baharu yang hanya melibatkan Tahun Lima dan Tahun Enam sahaja setakat ini.

Ketika tinjauan ternyata Chee amat berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh pihak sekolah serta pematuhan kepada SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengelakkan wabak Covid-19.

Chee pada akhir kunjungan ke sekolah telah menyampaikan sumbangan kepada PIBG SK. Abang Leman sebanyak RM10,000 dan juga menyerahkan Baucar Bantuan Pakaian Seragam Yayasan Sarawak untuk 58 orang murid Tahun Satu yang benilai RM200 setiap seorang.

Selepas itu Chee bergerak ke beberapa sekolah lain di sekitar daerah ini untuk tujuan yang sama.