KUCHING: Berita buruknya, berlakunya penularan terbaharu Covid-19 di Kuching, Padawan dan Samarahan sehingga memaksa jadual pembukaan sekolah di kawasan terbabit ditunda sehingga 3 Ogos depan.

Penularan terbaharu itu dikaitkan dengan jangkitan dalam kalangan kluster baharu kes tempatan.

Namun berita baiknya, semalam pada Selasa, tiada kes positif Covid-19 dilaporkan di Sarawak.

Jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sarawak kekal sebanyak 580 kes.

Bercakap pada sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di Petra Jaya, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata terdapat dua kes sembuh dan dicaj dari HUS dengan kadar sembuh keseluruhan ialah 95.52 peratus.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, masih terdapat lapan orang menerima rawatan di wad isolasi hospital.

Menurut beliau terdapat 20 kes di bawah siasatan (PUI) dan 12 kes masih menunggu ujian makmal.

Sementara, JPBNS juga mengumumkan penangguhan bagi pembukaan semula sesi persekolahan di tiga daerah di Daerah Kuching, Padawan dan Samarahan yang sepatujtanya dijadualkan bermula hari ini ke 3 Ogos depan.

Langkah diambil JPBNS atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Majlis Keselamatan Negara Negeri Sarawak dan persetujuan bersama dengan semua pihak termasuk wakil Kementerian Pendidikan Malaysia.