KUCHING: Sarawak membincangkan isu mendapatkan semula peruntukan 1/3 kerusi Parlimen dengan Kerajaan Persekutuan.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, perkara itu sangat penting demi mengembalikan kedudukan Sarawak dan Sabah di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, dahulu 1/3 Ahli Parlimen terdiri daripada Ahli Parlimen Singapura, Sarawak dan Sabah.

Namun apabila Singapura keluar, Sarawak dan Sabah sepatutnya mengekalkan 1/3 daripada 222 kerusi Parlimen itu.

Ketika ini terdapat 31 ahli Parlimen Sarawak dan 25 Sabah di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 ahli.

Semasa penubuhan Malaysia 1963, Semenanjung menguasai 2/3 kerusi Parlimen dan 1/3 diwakili Sarawak 24 kerusi, Sabah 16 dan Singapura 15.

Namun, apabila Singapura keluar Malaysia pada 1965, sebanyak 15 kerusi Parlimen yang diwakili tidak diagihkan kepada Sarawak dan Sabah.

Bercakap semasa sesi temu bual bersama akhbar tempatan di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, beliau berkata jika Sarawak dan Sabah tidak mempunyai 1/3, agihan kuasa di Parlimen, ini bermakna ia hanya bergantung kepada keputusan Semenanjung.

Hal ini signifikan kerana jika Sarawak dan Sabah memiliki kurang 1/3 kuasa di Parlimen, sebarang pindaan perlembagaan dilakukan berdasarkan kepentingan Semenanjung yang memiliki kuasa 2/3 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Menurut beliau lagi, tuntutan ini dibincang dalam Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.