BAU: Seorang penganggur memiliki dadah sejenis syabu dicekup Polis di hadapan kedai Jalan Jambusan semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata, sekitar jam 4.45 petang semalam, pengadu dan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Daerah (BSJND) Bau telah menahan lelaki berusia 20 tahun tersebut yang dalam keadaan yang mencurigakan.

Kata Poge, suspek telah dibawa ke pejabat BSJND Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk tujuan dokumentasi.

“Pengadu telah mengarahkan anggota BSJND Bau membuat pemeriksaan ke atas tubuh badan dan orang yang disyaki sendiri telah mengeluarkan di dalam poket kecil belah kanan seluar pendek yang dipakai dan menyerahkan sendiri satu peket plastik kecil lutsinar yang mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Anggaran keseluruhan berat kasar adalah 1.01 gram dan orang yang disyaki selanjutnya ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Katanya, semakan rekod lampau suspek mendapati suspek tiada rekod kesalahan lampau.

Tambah Poge, ujian saringan awal mendapati subjek juga positif Amphetamine dan Methamphetamine dan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Seterusnya suspek ditahan di lokap Balai Polis Daerah Bau untuk tindakan lanjut.