KUALA LUMPUR: Pembelian secara atas talian mencatatkan peningkatan sejak 18 Mac lepas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, para peniaga yang selama ini menjalankan perniagaan hanya dalam premis perniagaan turut beralih kepada perniagaan atas talian dan mula menyediakan kemudahan tempahan secara maya.

Katanya, berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 28.9 peratus peningkatan telah direkodkan bagi transaksi atas talian pada April 2020.

“Ini merupakan satu titik permulaan yang baik dalam usaha membangunkan perniagaan yang berkonsepkan digital, khususnya dalam sektor peruncitan.

“Kementerian menggalakkan perkembangan ini iaitu peralihan dari model perniagaan fizikal ke platform digital bagi membolehkan peniaga meneruskan kelangsungan operasi,” katanya dalam jawapan bertulis pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14.

Sementara itu, beliau memberitahu, kementeriannya juga telah melaksanakan beberapa inisiatif dalam meningkatkan peluang perniagaan di atas talian khususnya dari kalangan peruncit.

“Sebagai contoh, kementerian telah mengambil inisiatif mengadakan sesi libat urus bersama-sama wakil Pengendali Pasar Dalam Talian atau marketplace bagi membincangkan kaedah dan penyelesaian terhadap isu-isu berkaitan e-dagang.

“Antara hasil awal adalah kejayaan dalam memberi peluang kepada peniaga meluaskan pasaran produk mereka seperti hasil segar dan makanan laut menerusi marketplace yang terpilih semasa tempoh PKP tersebut.

“Kita juga telah melaksanakan advokasi secara digital melalui penghasilan infografik digital yang dimuat naik melalui media sosial kementerian iaitu berkaitan garis panduan yang perlu diketahui oleh peniaga dalam menjalankan transaksi dalam talian.

“Ini secara tidak langsung akan memberi panduan kepada peniaga secara khususnya berkaitan tatacara perniagaan atas talian sebagaimana yang diperuntukkan dalam Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik),” jelasnya.