KUCHING: Majlis Dakwah Islamiah Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) bercadang untuk menjadikan Bandaraya Kuching sebagai tuan rumah Perhimpunan Agung RISEAP Ke-19 dijadual berlangsung pada tahun hadapan.

Setiausaha Agung RISEAP, Dato Hj Mohamad Marzuki Mohamad Omar berkata RISEAP yang ditubuhkan pada 1980 itu dianggotai sebanyak 24 negara.

“Objektif utama kunjungan ini untuk memberi maklumat terkini mengenai RISEAP.

Pertemuan tadi kita ingin mencadangkan untuk mengadakan Perhimpunan Agung Ke-19 di Kuching.

“Kita menganggarkan lebih 100 wakil tetap daripada ahli-ahli kita dan bersekutu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg di Bangunan Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Terdahulu, dalam majlis berasingan Ketua Menteri menerima kunjungan hormat dari Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan yang turut disertai Ahli Lembaga Pengarah FINAS Malaysia Dato’ Hajah Norhyati Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Media Group Sarbini Hamadan, Pengarah Bahagian Media ASTRO, Wong See Wei dan Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak, Dr. Jeniri Amir.

Pertemuan kira-kira 20 minit itu bertujuan mengadakan kolaborasi pihak Astro dan Kerajaan Negeri Sarawak dalam bidang media dan penyiaran.