KUCHING: Kajian terhadap projek Autonomous Rail Transit kini pada tahap kedua bagi mengenal pasti laluan sesuai, kata Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil.

Sebelum ini Kerajaan Sarawak mengumumkan akan melaksanakan LRT untuk laluan Kuching-Kota Samarahan bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas yang dihadapi penduduk di laluan terbabit setiap hari.

Namun, Kerajaan Sarawak kemudiannya memilih untuk melaksanakan ART daripada LRT, selepas mengambil kira kosnya yang lebih murah.

“Kajian mendapati bahawa pembinaan ART adalah lebih murah, iaitu satu per tiga daripada kos LRT,” kata Jerip.

Beliau menjelaskan, Kerajaan Sarawak kini merancang laluan kerana sistem terbabit memerlukan laluan khas yang mungkin memerlukan pembinaan jalan baharu atau peluasan jalan sedia ada.

Katanya, pembinaan ART akan menyelesaikan masalah kesesakan, terutama di bandar raya Kuching dan Kota Samarahan.

Katanya lagi, kemudahan itu nanti bukan sahaja mampu menangani masalah kesesakan, tetapi juga menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

Selain itu, ujar Jerip inisiatif berkenaan juga menggalakkan penggunaan teknologi hijau ke arah bandar pintar.

Kini laluan terbabit amat sesak, malah dijangka lebih sesak dalam tempoh lima tahun lagi susulan pertambahan penduduk dan pembinaan lebih banyak skim perumahan di Kota Samarahan.