KUALA LUMPUR: Isu kerajaan ‘pintu istana’ yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mengundang perdebatan hangat antara penyokong kerajaan dan pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat  pada Selasa.

Ketika mencadangkan usul ucapan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen ke-14, Ahmad menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) merupakan kerajaan yang sah setelah memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.  

“Setiap orang daripada 113 orang (Ahli Parlimen kerajaan)  di sini mempunyai mandat rakyat. Ini adalah kerajaan ‘pintu istana’ yang sah, bukan kerajaan ‘pintu belakang’.

“Hentikanlah tuduhan bahawa kerajaan (PN) ini ‘pintu belakang’ kerana (ia) menghina keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya seperti dilapor Bernama. 

Ahmad berkata pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan yang diperkenan Al-Sultan Abdullah adalah berdasarkan proses penilaian yang mendapat majoriti kepercayaan ahli Dewan Rakyat. 

Malah, rata-rata Ahli Parlimen kerajaan mendedahkan semula bahawa mereka pada mulanya menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Kelapan.

“Kami semua sign (tandatangan) SD sokong Langkawi (Dr Mahathir) tetiba Langkawi letak jawatan (sebagai perdana menteri) (jadi) kami sokong (Ahli Parlimen) Pagoh (Muhyiddin) lah…,” kata Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) ketika mencelah ucapan Ahmad.

Perkara itu disokong oleh Ahmad dengan berkata: “Kami semua sign SD untuk Tun Mahathir tapi SD itu tidak terpakai apabila Langkawi letak jawatan …jadi kami sokong Pagoh (Muhyiddin)”.

Bagaimanapun, Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) bangun mencelah dan mempersoalkan Kerajaan PN bukan dipilih melalui Pilihan Raya Umum (PRU). 

“Kerajaan pintu belakang ini bukan dipilih masa Pilihan Raya Umum (PRU), itu sahaja. Tak faham?” katanya. 

Justeru, Ahmad bangkit dan mencadangkan supaya istilah ‘kerajaan pintu belakang’ dan ‘pengkhianat’ hendaklah dianggap‘unparliamentary’ atau bercanggah dengan peraturan Parlimen.