SK Nanga Nirok Ngemah dilanda banjir kilat

Kay Urana

KANOWIT: Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Nirok Ngemah dekat sini dilanda banjir kilat pagi tadi.

Laporan rasmi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit menyebut pihak BBP Kanowit membuat tinjauan dilokasi jam 8 pagi tadi.

Paras air di kawasan sekolah terlibat dilaporkan naik hingga setinggi enam kaki dan air melimpah di kawasan sekolah serta mula memasuki bilik darjah.

Kesemua kakitangan sekolah juga dilaporkan berada di sekolah tersebut meskipun sekolah berkenaan hanya dibuka sepenuhnya esok.

Sekolah tersebut dilaporkan mempunyai 46 murid, 11 guru dan 7 kakitangan sokongan.

Murid prasekolah pula dilaporkan tidak hadir ke sekolah hari ini ekoran kejadian banjir berkenaan.

Setakat jam 11.30 pagi tadi paras air dikatakan semakin naik.

Bagaimanapun setakat ini tiada mangsa dipindahkan akibat kejadian itu.