KABONG: Teruskan amalan kebiasaan baru dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang disaran kerajaan bagi memastikan wabak Covid tidak menular kepada penduduk.

ADUN Kabong, Mohd.Chee Kadir berkata dalam keadaan sekarang orang ramai tidak boleh leka dan memandang ringan ancaman Pandemik Covid-19 kerana virus itu tidak nampak pada mata kasar serta boleh menjadi ancaman besar jika penduduk leka.

Chee berkata demikian ketika diminta pandangan berkaitan perkembangan Covid-19 dan juga langkah keselamatan sempena pembukaan sesi persekolahan yang bermula esok.

Chee dan isteri Meryani Haji Yasin ditemui pemberita ketika menziarahi ahli keluarga Allahyarham Bolhi Aren yang telah meninggal dunia semalam serta memberi penghormatan terakhir kepada jenazah di Kampung Hulu Laut di sini sebelum majlis pengebumian berlangsung pagi tadi.

Kata Chee catatan kes jangkitan yang masih dilaporkan berlaku di Kuching dan Bintulu ketika ini perlu diberi perhatian oleh penduduk.

Lantaran itu katanya ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak yang turun ke sekolah supaya sentiasa berhati-hati dan selalu mencuci tangan serta jangan bergaul secara rapat dengan rakan-rakan semasa di sekolah.

Dan tambahnya jangan hantar anak ke sekolah jika anak didapati tidak sihat atau demam.

“Pantai Tanjung Kembang contohnya menyaksikan kehadiran pengunjung yang ramai pada hujung minggu. Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya menitik beratkan keselamatan serta mempraktikkan penjarakan sosial.

“Kita mahu kawasan di daerah ini terus kekal sebagai kawasan hijau dan tidak mencatatkan sebarang kes.Amalkan kebersihan sebagaimana yang disarankan dan guna pelitup muka jika berada di kawasan seperti pasar raya dan tempat awam yang ada ramai orang.

“Apa yang perlu kita semat dalam fikiran kita sekarang, kita kini masih belum selamat sepenuhnya daripada ancaman wabak Covid-19.Kita perlu sentiasa berwaspada selalu dan ingat kepada ungkapan ‘ Kita Jaga Kita, Putuskan Pantaian Covid-19 dan Kita Mesti Menang’

Hadir sama Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK), Haji Olen Tabor yang seterusnya bersama-sama Chee melakukan penyerahan sumbangan kepada waris keluarga yang meninggal.