LAWAS: Untuk memastikan pembangunan menyeluruh bagi mencapai status negeri maju dengan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030, kerajaan Sarawak menumpukan kepada sektor pertanian, penternakan, dan perikanan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Bantuan Pertanian daerah Lawas pada Ahad berkata kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) telah meluluskan peruntukan bagi menaiktaraf sektor-sektor tersebut.

Katanya, sebanyak RM 5.8 juta telah diperuntukan bagi membantu para petani, penternak dan nelayan dengan menjalankan pelbagai program khusus untuk membantu mereka.

“Jabatan Pertanian memperuntukan sejumlah RM 5.855 juta untuk pelaksanaan pelbagai program melibatkan 120 orang peserta.”

Datuk Amar Awang Tengah juga memberitahu, bantuan terus daripada Jabatan Pertanian itu akan diberi seawal bulan Ogos yang akan dilakukan secara berperingkat-peringkat melibatkan 2488 orang penerima.

Dalam majlis yang sama, Datuk Amar Awang Tengah memberitahu kerajaan juga telah meluluskan peruntukan bagi merealisasikan aspirasi kerajaan menjadikan Limbang sebagai pusat pengeluaran kerbau negeri Sarawak.

“NRDA telah pun meluluskan sebahagian daripada peruntukan NRDA iaitu untuk menaik taraf stesen penternakan kerbau berharga RM2 juta dan menaiktaraf pusat pembiakan kerbau sebanyak RM 7 juta.”

Tambah beliau, peruntukan sebanyak RM 3 juta juga diberi di bawah NRDA untuk menaiktaraf stesen perikanan darat di Punan, manakala RM 4 juta diberi untuk membangunkan organic valley bagi kawasan Long Semadoh dan Ba’kelalan.

Ujarnya lagi, bagi menembusi pasaran lebih besar seperti negara China dan negara lain, kerajaan sedang dalam pelaksanaan pusat pengumpulan hasil pertanian dan juga akan melaksanakan pusat seperti anjung usahawan dan beberapa kemudahan di beberapa tempat untuk memasarkan produk-produk serta melibatkan masyarakat dalam bidang pemprosesan.