GARA-GARA membeli kereta jenama Toyota Vellfire pada usia 12 tahun, bintang cilik YouTube Alyssa Dezek mendapat pelbagai reaksi warganet.

Warganet mendakwa tindakan ibu bapa untuk Alyssa adalah tidak wajar dan berpendapat pendapatan itu sepatutnya digunakan untuk tujuan pelaburan masa hadapan Alyssa.

Mengulas perkara itu, ibu Alyssa iaitu Suzanne Dezek berkata, mereka menghormati kehendak Alyssa yang mahukan kenderaan untuk memudahkan perjalanan kerjayanya.

“Pada saya duit tu duit dia, jadi dia nak beli Vellfire untuk memudahkan ke penggambaran dan travel jauh untuk keselesaan dia.

“Bab rumah tu kita sudah sediakan untuk Alyssa dan adik. Suami saya sudah belikan. Simpanan pun memang ada untuk dia sambung belajar,” katanya seperti dipetik mStar.

Suzanne meluahkan kekecewaan apabila segelintir netizen menganggap dia dan suaminya Hafi dz Dezek hanya menumpang kesenangan Alyssa.

Jelasnya, suaminya bekerja sebagai ketua jurutera kapal itu mampu memiliki kereta tersebut dan tidak perlu bergantung dengan pendapatan anak mereka.