KUCHING: Pembukaan  semula sesi persekolahan bagi sekolah menengah di tiga buah daerah di Daerah Kuching, Padawan dan Samarahan yang dijadualkan bermula  pada esok hari  ditangguhkan ke 3 Ogos depan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata,  langkah ini diambil berdasarkan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Majlis Keselamatan  Negara Negeri Sarawak dan persetujuan bersama-sama antara semua pihak termasuk  wakil Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Ini melibatkan kelas peralihan, tingkatan 1,2,3 dan 4, tingkatan enam rendah dan sekolah rendah melibatkan tahun lima dan enam yang dijadualkan bermula pada 15 Julai 2020 dan sekolah rendah bagi tahun 1,2,3 dan 4,” kata JPBNS dalam satu kenyataan.

Jelasnya, sekolah yang dikenal pasti adalah sebanyak 138 buah.

“Ia melibatkan 87 buah sekolah di daerah  Kuching, 48 buah sekolah di daerah Padawan dan tiga buah sekolah di daerah Samarahan,” jelasnya.

Katanya, bagi kelas prasekolah, tingkatan lima dan tingkatan enam atas, sesi persekolahan diteruskan seperti biasa.

“Keputusan ini dibuat berikutan kes penularan Covid-19 di daerah Kuching yang semakin meningkat,” jelas kenyataan itu lagi. 

Menurutnya, bagi sekolah  di kawasan hijau yang di luar daerah Kuching,  Padawan dan Samarahan, jadual pembukaan  sekolah bermula  esok, 15 Julai.