SEBUYAU: Kampung Sg. Kakus Ensika yang sebelumnya amat susah untuk dikunjungi, kini telah mudah untuk dilawati, memandangkan banyak pembangunan serta kemudahan yang telah dilaksanakan di kawasan Sebuyau.

Hari ini, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, merangkap ADUN Sebuyau, Datuk Haji Julaihi Haji Narawi telah menyempurnakan Majlis Perasmian Dewan Masyarakat Kampung Sungai Kakus Ensika, menerusi peruntukan berjumlah RM350,000.00 dan tambahan sebanyak RM200,000.00.

Selain itu, beliau turut merasmikan Jalan Kampung Ensika Sebangan Simunjan sepanjang 4.8 kilometer dengan peruntukan sebanyak RM4.1 juta.

Menurut Datuk Haji Julaihi, ia adalah usaha berterusan kerajaan Sarawak dalam memberi kemudahan kepada penduduk kawasan.

Dalam majlis itu, beliau juga meluluskan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan geran Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2020 sebanyak RM5,000.00 kepada setiap JKKK dan RM10, 000.00 peruntukan untuk SK Ranjau Ensika, Sebangan.

Turut serta, wakil Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya Samarahan, Felicity Umang Janang; Pegawai Tadbir Sarawak Sebuyau, Ajis Ahmad; Penghulu Masyarakat Iban Kawasan Sebuyau, Penghulu Merum Babu; Penghulu Masyarakat Iban Kawasan Sebangan, Penghulu Agu Keling; Ketua Kaum Kampung Sg.Kakus Ensika, TR. Meramat Lalat; Ketua – Ketua Masyarakat, Ketua Kaum & Kaunselor.