KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebelum ini penuh dengan sikap berangan-angan dan ada sebahagiannya tidak berpengalaman mentadbir negara.

Menurutnya, manifesto PH sebelum ini dilihat meyakinkan, namun realitinya apabila menyedari perkara sebenar, masalah mula timbul.

“Sebilangan besar pemimpin PH hanya mahukan kedudukan dan bukan melihat bagaimana merancang untuk mentadbir negara ini.

“Itulah sebab utama kejatuhan mereka setelah kurang dua tahun menjadi kerajaan pemerintah,” katanya kepada di sini, semalam.

Masing berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan bekas Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa Tan Sri Rafidah Aziz yang melihat manifesto PH melalui Buku Harapan.

“Saya tidak pernah membaca manifesto anda (PH). “Saya tidak boleh, saya tertidur,” katanya semasa sesi langsung Facebook bersama-sama Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, pada petang Jumaat lalu.

Rafidah menambah, pemimpin PH tidak mempunyai manfaat dalam memberikan manifesto terperinci kerana sebelum ini tiada pemimpin yang dapat meramal masa depan dan tidak ada yang dapat meneka pandemik Covid-19 bakal berlaku.