KOTA SENTOSA: Satu mayat lelaki warga Indonesia ditemui dalam keadaan terbaring dan mulutnya dipenuhi buih putih di kaki lima kedai Motor Ang Han Hee Motor Works, Jalan Liu Shan Bang 2, semalam.

Mayat terbabit ditemukan oleh sepasukan unit peronda polis (MPV) Padawan yang melakukan rondaan di lokasi sekitar jam 6.40 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong berkata, hasil pemeriksaan awal pegawai petugas Hospital Sentosa mengesahkan mangsa sudahpun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa berusia 37 tahun itu dikenali sebagai Abdullah Tamim yang beralamat di DSN Sekenang 08/04 Sebawi KAB Sambas, Indonesia.

“Hasil pemeriksaan awal terhadap si mati menemui wang tunai berjumlah RM4,802 di dalam beg pinggangnya.

“Kita turut dapati tiada unsur jenayah berlaku terhadap si mati setelah pemeriksaan lanjut di tubuhnya tidak menunjukkan sebarang kesan lembam ataupun luka,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa disyaki meninggal dunia akibat serangan penyakit sawan berikutan si mati dijumpai terbaring dan mulutnya dalam keadaan berbuih berwarna putih.

Susulan itu katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik HUS untuk disimpan sementera menunggu untuk mengesan waris mangsa dilakukan.

Ujarnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).