SERIAN: Semua ahli parlimen sama ada dari blok kerajaan dan pembangkang diharap fokus ke-pada fasa pemulihan pandemik Covid-19 menjelang sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah berkata, ahli parlimen seharusnya memberi tumpuan kepada masalah rakyat bukannya saling menyalahkan antara satu sama lain.

“Kita kini dalam pemulihan. Kita telah berjaya melepasi fasa penyelesaian, ketahanan dan pencapaian semula dengan kecekapan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakyat sendiri.

“Maka, dengan bantuan ahliahli parlimen untuk berbahas mengenai kaedah terbaik yang harus dilakukan oleh kerajaan termasuk mengemukakan pandangan demi kebaikan bersama,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke SMK Tebakang, 35 kilometer dari Serian di sini kelmarin.

Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar menambah, cadangan dan pandangan bernas akan membantu negara untuk menghadapi dua fasa lagi iaitu penyalaan semula dan pembaharuan selepas Covid-19.

“Ini kerana Perdana Menteri menggariskan 6R yang fokus kepada rakyat secara keseluruhannya. “Malah, baki dua fasa itu akan dicadangkan dalam Belanjawan 2021. Kita masih mempersiapkan proses satu jangka panjang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bermula Januari 2021,” jelasnya.

Tegasnya, kedua-dua fasa ini amat penting dan ia harus mencapai matlamatnya.

“Baki dua fasa ini tidak akan tercapai sekiranya kita gagal menyelesaikan fasa pemulihan yang kita hadapi ketika ini. “Jadi, saya berharap persidangan Dewan Rakyat kali ini bukan medan mencari kesalahan tetapi melihat kepentingan rakyat harus diutamakan,” ujarnya.