KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen jika gagal mendapat undi majoriti untuk menyingkirkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalannya Nga Kor Ming.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak memiliki legitimasi dan majoriti untuk meneruskan hayat pentadbiran yang ada.

“Ujian pertama keutuhan Kerajaan PN esok (Isnin) adalah sejauh mana kejayaan usul menyingkirkan Mohamad Ariff dan Kor Ming untuk digantikan dengan Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Jika gagal, bermakna kerajaan PN sudah tidak lagi memiliki legitimasi dan majoriti untuk meneruskan hayat pentadbiran yang ada.

“Maka kerajaan tiada pilihan lain melainkan mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan menerusii akaun Facebooknya.

Namun, Asyraf Wajdi  berharap agar pemerintahan PN dapat dipertahankan demi kepentingan rakyat.

Menurut persidangan Dewan Rakyat sebelumnya, Muhyiddin mendapat sokongan 113 daripada 222 anggota Dewan Rakyat.

Persidangan Dewan Rakyat pada 13 Julai ini merupakan persidangan yang ditunggu-tunggu selepas hampir beberapa bulan tertangguh akibat penularan wabak COVID-19.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul (AUM DR 13/7/2020) yang dimuat naik di laman web rasmi Parlimen Malaysia, Perdana Menteri akan mengusulkan perkara tersebut selepas meminta Mohamad Ariff mengosongkan jawatannya.