KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka 266 kertas siasatan berhubung berita palsu Covid-19, setakat hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, 172 masih dalam siasatan, manakala 30 kes telah didakwa di mahkamah, 12 diberikan notis amaran, 13 dalam proses perbicaraan dan 17 lagi telah mengaku bersalah.

“Pihak PDRM dan SKMM akan terus membuat pemantauan ketat terhadap penyebaran berita palsu. Kerajaan memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap penyebaran berita palsu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ismail Sabri berkata sebanyak 351 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respons Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita tidak benar berkaitan pandemik itu. 

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya serta menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau laman web www.sebenarnya.my bagi menyemak kesahihan berita.

Sementara itu semalam, Ismail Sabri berkata seramai 29 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan daripada jumlah itu, seramai lapan individu direman manakala 21 lagi dikenakan kompaun.

Katanya antara kesalahan ingkar PKP yang dilakukan termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam, aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan jarakan sosial serta aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Berkenaan dengan Operasi Benteng pula, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata PDRM telah melakukan 68 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 43,598 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin dan hasilnya seramai tujuh warga asing berjaya ditahan atas kesalahan imigresen.

Dalam tempoh yang sama, katanya seperti dipetik Bernama 1,000 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dan daripada jumlah itu 998 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala dua lagi dibawa ke hospital.

Menyentuh tentang barangan keperluan dalam negara pula, Ismail Sabri memberi jaminan ia adalah mencukupi serta mudah diperoleh, berdasarkan pemantauan harian yang dilakukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas 12 jenis bekalan barangan di 752 premis perniagaan termasuk peruncit (560), pemborong (162) dan pengilang (30).

KPDNHEP juga telah melakukan 1,027 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,017 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 10 premis lagi diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

Beliau turut mengingatkan pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk jarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian.