MUKAH: Demi keselamatan dan kesihatan murid-murid serta warga sekolah, alma mater SK Kpg Tellian Mukah menyumbangkan sebanyak enam unit dispenser sanitasi tangan untuk kegunaan sekolah tersebut.

Menurut wakil bekas pelajar, Terren Sanchez mereka seramai enam orang berkongsi modal untuk membuat alat dispenser tersebut.

“Kami merasa terpanggil untuk menyumbangkan alat dispenser ini supaya memudahkan murid-murid dan warga sekolah yang akan turun semula ke sekolah dalam kelaziman baru,” tambah beliau.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada YDP PIBG SK Kpg Tellian, James Anthony.

“Selaku YDP PIBG, saya berasa terharu akan inisiatif enam orang alma mater sekolah ini yang prihatin akan keperluan sekolah di samping meringankan sedikit peranan PIBG. Saya juga amat mengharapkan alma mater yang lain mencontohi inisiatif sebegini,” kata James.

Sebagai rekod, SK Kpg Tellian Mukah mempunyai 20 orang guru, 3 kakitangan pelaksana dan 222 orang murid.

Sekolah berkenaan masih menumpang bangunan di SK Kpg Tellian sejak 16 tahun yang lalu. Bangunan baharu SK Kpg Tellian Mukah telah siap sepenuhnya dan menunggu masa untuk beroperasi.