SERIAN: Ekoran PKP berkaitan penularan Covid-19, pembinaan sekolah daif tertangguh.

Bagaimanapun, pembinaan sekolah daif ini bermula Disember tahun ini dan dijangka siap setahun.

Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memberi komitmen mempercepat proses pelaksanaan projek berkenaan.

Melawat SMK Tebakang, 35 kilometer dari Serian pada Sabtu, Mohd Shahar berkata kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak dilaksanakan melalui dua sumber iaitu di bawah RMK-11 dan bayaran pinjaman RM1 bilion.

Menurut beliau, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu setiap projek yang dilaksanakan memberi impak kepada kumpulan sasar.

Sebelum ini, Menteri Kanan Infrastruktur Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ahli Parlimen petra Jaya berkata, usaha baik pulih sekolah daif di negeri ini dilakukan di 93 sekolah.

Fadilah menjelaskan, usaha membaik pulih sekolah berkenaan terbahagi kepada tiga fasa.

Pembayaran pinjaman fasa pertama RM350 juta digunakan membaik pulih 41 sekolah daif.

Manakala, fasa kedua RM350 juta digunakan membaik pulih 52 sekolah daif yang ditender.

Bagi fasa ketiga, ia membabitkan pembayaran pinjaman RM300 juta yang belum muktamad.