SIBUTI: Sebuah jambatan yang menghubungkan Kampung Bulau dan Kampung Tiris akan dibina bagi menghubungkan beberapa buah kampung lain.

Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Hj Yunus berkata, pembinaan Jambatan Bulau yang bernilai RM16,390,000 ini adalah janji Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semasa menghadiri Majlis Makan Tahun Perdana pada tahun 2019.

“Pembinaan Jambatan Bulau ini merangkumi laluan Kampung Hulu Tiris dari Jambatan Sibuti yang baru ke Kampung Tiris kemudian ke Kampung Bulau ada sebuah jambatan lagi yang telah diluluskan kerajaan dan terus ke Jalan Pan Borneo.

“Dengan siapnya jalan ini nanti, seluruh Kampung Tiris akan dihubungkan kepada Jalan Pan Borneo dan Kampung Bulau juga akan dihubungkan dengan jambatan ini,” katanya semasa mengadakan tinjauan lokasi pembinaan Jambatan Bulau yang akan dibina untuk menyeberangi Sungai Sibuti di Kampung Bulau pada Sabtu.

Pembinaan jalan tersebut akan memberi manfaat kepada beberapa buah kampung seperti Kampung Rambai, Bulau, Tiris dan Sinop dengan jumlah penduduk lebih kurang 1,900 orang.

Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Subis Minggu anak Jampong, Pegawai Jabatan Kerja Raya Miri, Ketua Kaum Kampung Bulau Amin bin Antin dan Ketua Kaum Kampung Sinop Ramlee bin Talip