GUANGXI: Remaja berusia 15 tahun lumpuh tangan kiri selepas bermain permainan komputer 22 jam selama sebulan.

Insiden ini berlaku di Nanning dan budak remaja bernama Xiaobin dikejarkan ke Hospital Jiangbin di Guangxi selepas ditemui pengsan di rumahnya.

Sepanjang PKP, Xiaobin dikatakan leka bermain permainan video itu dan tidak berhenti 22 jam setiap hari.

Menurut ibunya, Xiaobin menghabiskan masanya berkurung di bilik sepanjang PKP dan memberitahu ibu bapanya dia belajar secara dalam talian.

Dia menutup tingkap dan mengunci pintu biliknya menyebabkan ahli keluarganya tidak tahu aktiviti dilakukannya.

Sepanjang sebulan itu juga dia hanya berhenti berehat tidur dua jam. Ibunya mengetahui perkara ini selepas membaca komen kawannya dalam talian.

Selepas menjalani imbasan CT, doktor pakar mengdiagnos remaja itu mengidap strok serebum dan hilang deria rasa pada lengan kiri dan tangannya.

Pakar otak di hospital itu menyalahkan pola tidur dan makan yang tidak teratur, serta sikap ibu bapanya yang terlalu bertoleransi dengan tingkah laku Xiaobin sehingga menyebabkan insiden ini.

Serangan strok itu juga dikatakan berlaku akibat kekurangan zat dan kekurangan darah dan oksigen dalam otaknya.

Keadaan Xiaobin kini stabil dan dia menerima rawatan rehabilitasi di Hospital Nanning, namun masih belum dapat dipastikan sama ada dia dapat pulih sepenuhnya.