Pilihan raya negeri (PRN)  Sarawak ke-12  dijangka diadakan seawal-awalnya pada bulan Oktober atau November tahun ini. Hal ini kerana PRN Sarawak ke-11 telah diadakan pada 7 Mei 2016 dan  Dewan Undangan Negeri akan berakhir pada bulan Jun 2021. Maka, PRN Sarawak boleh diadakan pada Julai 2021 atau sebelum 7 September 2021.

Lazimnya PRN tidak diadakan pada saat-saat akhir kerana bimbang terdapat isu –isu yang sukar dikendalikan pada saat-saat akhir. Justeru, pilihan raya negeri Sarawak dijangka akan diadakan pada bulan Oktober atau November tahun ini.

Logika Politik

Memang sebelum ini dijangka PRN Sarawak tidak mungkin diadakan pada tahun 2020. Hal ini kerana ketika itu wabak pendemik Covid-19 sangat tersebar dan menjadi ancaman bukan sahaja kepada penduduk negeri Sarawak, tetapi seluruh Malaysia.  Sebab itu, bagi menjaga keselamatan kesihatan awam, maka PRN Sarawak dijangka tahun depan.

Namun situasi wabak Covid-19 sudah berubah, pandemik ini sebahagian besar telah berjaya ditangani dan dalam tempoh sebulan dua ini, wabak covid-19 tidak lama dianggap bukan ancaman lagi dan Malaysia boleh bebas Covid-19 dengan syarat penjarakan sosial dan sanitasi serta langkah-langkah kesihatan lain diamalkan. 

PRK Chini merupakan model terbaik untuk digunapakai dan diubahsuai bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP), tatacara pengelolaan pilihan raya dilaksanakan dengan lebih selamat.  Misalnya, mengehadkan jumlah maksimum pengundi di setiap saluran kepada 400 pengundi berbanding 600 orang sebelum ini. Pematuhan jarak sosial dan  tempoh keluar mengundi  yang digalakkan yang diyakini dapat mengurangkan kesesakan  di pusat dan saluran mengundi.

Dari segi kempen, tidak ada aktiviti ceramah dalam skala besar diadakan. Ceramah berkelompok dibenarkan dalam skala kecil. Calon bertanding dibenarkan mengadakan kempen tinjauan mesra (walkabout),  dan kunjungan dari rumah ke rumah  selain kempen menggunakan poster calon, bendera parti, dan kain rentang atau sepanduk. 

Kesesuaian Pilihan Raya

Apabila covid-19 berlaku, ia mengakibatkan berlakunya  fenomena ’kemiskinan situasi’, iaitu  situasi  yang tidak terjangka oleh masyarakat dan kerajaan sendiri dan ini menyebabkan berlakunya mata pendapatan terjejas atau hilang pekerjaan. Terdapat juga mendapat gaji separuh atau suku. Seorang pekerja swasta yang sebelum ini mendapat gaji 12 ribu Ringgit Malaysia, memberitahu penulis beliau kini mendapat gaji RM500 sahaja sejak April lalu hingga sekarang. Semoga apabila covid-19 berakhir, maka masalah ini dapat ditangani dengan baik.

Dalam konteks membantu rakyat, pihak kerajaan dan bank telah berbincang dan bersetuju memberikan penangguhan sementara  bayaran pinjaman kepada bank selama 6 bulan.  Penangguhan  selama 6 bulan ini bermula 1 April hingga September ini.  Hal ini bermakna dalam tempoh 6 bulan rakyat tidak perlu membayar pinjaman mereka dan wang tersebut boleh digunakan untuk  menampung  kehidupan mereka yang terjejas akibat Covid-19 ini.

Pengenalan motarium selama 6 bulan ini berjaya mewujudkan  faktor selesa dan kesejahteraan hidup kalangan rakyat dan ini memberikan kelebihan kepada parti pemerintah, iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menjadi bahagian kepada Perikatan Nasional yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Banyak juga  perniagaan kecil dan sederhana yang berkeperluan  menerima pelbagai subsidi dan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dalam tempoh 6 bulan ini. Namun selepas moratorium ini berakhir,  maka dijangka impak covid-19 ini akan dirasai teruk oleh rakyat kerana terpaksa membayar kembali kepada bank segala pinjaman sedangkan banyak sektor pekerjaan dijangka terjejas khususnya pihak swasta.  Situasi ini akan mengakibatkan  hilangnya pekerjaan dan penutupan atau pengecilan saiz perniagaan.  Kesemua ini akan mengakibatkan impak terhadap ekonomi rakyat.

Berisiko Tinggi

Sekiranya pilihan raya negeri Sarawak ditunda hingga Disember atau tahun depan, situasi ekonomi dunia dan negara yang kurang memberangsangkan mampu memberikan ketidakpuasan rakyat, protes terhadap situasi ekonomi semasa  dan menyalahkan kerajaan akan menjadi bertambah tinggi. 

Dalam pilihan raya Singapura baru-baru ini, didapati mandat parti PAP merosot  daripada 69.9 peratus pada pilihan raya 2015 merosot kepada 61.24 peratus pada pilihan raya umum baru-baru ini.  Meskipun tempoh moratorium belum tamat dan masih banyak lagi subsidi, bantuan kewangan  diberikan kepada rakyat Singapura, akan tetapi rakyat Singapura tetap tidak berpuas hati kepada parti PAP. Buktinya pembangkang  berjaya memenangi 10 kerusi  berbanding enam sahaja sebelum ini.  Malah terdapat beberapa kerusi  pembangkang di Singapura hanya kalah tipis kepada PAP. Iktibar daripada pilihan raya Singapura perlu diberikan perhatian oleh pemimpin politik sebelum menentukan atau menunda tarikh pilihan raya.

Tunggu Bajet 2021

Terdapat jangkaan bahawa GPS menunggu bajet 2021  dibentangkan di Dewan Rakyat oleh kerajaan Perikatan Nasional untuk memberikan momentum  mengenai pengumuman-pengumuman penting dan bermanfaat untuk Sarawak. Kemudian, disusuli oleh pembentangan bajet oleh kerajaan Negeri Sarawak yang dijangka akan menawarkan pelbagai pengumuman yang menguntung rakyat dan pembangunan negeri Sarawak.  Ramai ahli politik GPS berasa aspek bajet ini penting bagi memenangi hati rakyat dan pengundi negeri Sarawak. 

Namun, apa-apa yang penting ialah terlalu lewat mengumumkan pembubaran dewan undangan negeri khususnya apabila moratorium sudah berakhir amat berbahaya kepada situasi impak rakyat terhadap ekonomi semasa yang bakal memberikan kesan prestasi GPS yang baru pertama kali menggunakan logo GPS.

Pada masa yang sama, ia perlu mengambil kira  situasi lawan mereka, iaitu DAP, PKR dan Amanah berada dalam tahap kurang memuaskan selepas berlakunya Langkah Sheraton dan pembentukan Perikatan Nasional serta masih bertelingkah isu calon Perdana Menteri. Hakikatnya, situasi ini perlu diambil kesempatan oleh GPS untuk memastikan undi rakyat Sarawak akan lebih memihak kepada GPS untuk menang besar dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-12.

GPS perlu meningkat penguasaan kerusi mereka yang kini mempunyai 68 kerusi DUN, manakala DAP mempunyai 7 kerusi dan PKR mempunyai tiga kerusi namun melompat ke Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang  kini bertambah daripada 4 kepada 7 kerusi. 

Apa-apa pun tarikh pilihan raya negeri Sarawak, hakikatnya parti  DAP, PSB dan PKR dianggap ancaman terbesar kepada GPS dalam PRN Sarawak akan datang! 

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.