SIBUTI: Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Pertanian Sarawak berusaha untuk memastikan kuantiti dan kualiti pengeluaran buah durian dapat dipertingkatkan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ketika ini Jabatan Pertanian Sarawak sedang giat menjalankan kajian dan penyelidikan terhadap pengeluaran buah durian yang berkualiti dan sekaligus meningkatkan pendapatan pengusaha buah durian.

“Kalau sekarang satu pokok durian mengeluarkan 10 biji, tetapi dengan adanya kajian dan penyelidikan dengan menggunakan teknologi ia boleh mengeluarkan 200 biji buah durian dalam satu pokok.

“Maknanya, pendapatan dahulu RM100 tetapi sekarang pendapatanya sebanyak RM2,000.

Inilah ideanya yang hendak kita laksanakan kepada pengusaha durian sekaligus meningkatkan kualiti buah durian,” katanya semasa ditemui selepas menghadiri Taklimat Agricuture Facilitation dan Kaboluh Research pada Sabtu.

Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Ak Manggil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat, ADUN Telang Usan Dennis Ngau, Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pemangku Pegawai Daerah Subis Minggu anak Jampong.