LIMBANG: Jalan raya 13 kilometer menghubungkan tiga kampung – Kampung Ipai, Lubok Sigantang dan Pendam dibina di bawah Projek Baru dan Naik Taraf Jalan Ipai-Pendam.

Projek berharga RM35 juta diperuntukan bagi menyingkatkan perjalanan tiga kampung tersebut termasuk kampung berdekatan menuju bandar Limbang.

Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Abdul Rahman Ismail berkata, kampung lain turut mendapat manfaat daripada projek jalan tersebut ialah Kampung Lubok Piasau dan sekitarnya.

Siapnya jalan raya ini nanti menjimatkan banyak masa penduduk bergerak ke kawasan sekitar termasuk ke bandar.

Berucap pada Majlis Pelancaran Projek NRDA Jalan Pandam-Ipai di Dewan Kampung Ipai pada Sabtu, beliau yang juga Adun Bukit Kota berkata, pembangunan giat dilakukan itu merupakan usaha Kerajaan Sarawak membangunkan seluruh pelosok negeri ini.

Menurutnya Kerajaan Sarawak terus membela nasib rakyat di bidang sosial dan ekonomi dan meminta penduduk setempat mengambil peluang pembangunan yang dilakukan kerajaan.