KUCHING: Operasi penerbangan AirAsia laluan Kuching ke Sibu bakal ditingkatkan sebanyak 21 kali seminggu berkuat kuasa mulai 1 Ogos depan.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, ia bukan sahaja untuk memenuhi permintaan orang ramai malah untuk memulihkan ekonomi negeri terutamanya industri pelancongan domestik.

“Sejak pembukaan semula sektor ekonomi Mei lalu, frekuensi penerbangan untuk laluan Kuching ke Sibu hanya beroperasi sebanyak tujuh kali dalam seminggu.

“Ekoran timbulnya beberapa kesulitan yang dialami pelanggan, kementerian berbincang dengan AirAsia untuk meningkatkan frekuensi penerbangan di dua laluan ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut beliau, syarikat AirAsia bersetuju meningkatkan penerbangan sebanyak tiga kali sehari yang menjadikan jumlah penerbangan setiap minggu sebanyak 21 kali.

Jumlah tersebut adalah berbeza daripada kekerapan penerbangan sebelumnya yang beroperasi sebanyak tujuh kali dalam tempoh seminggu.

“Frekuensi penerbangan baharu akan berkuat kuasa pada 1 Ogos depan di samping ia ditingkatkan menjadi dua penerbangan setiap hari untuk 17, 19, 24, 26, 29, 30 dan 31 Julai.

“Sejajar dengan peningkatan penerbangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), saya menasihati semua penumpang agar terus mematuhi SOP yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi mengekang Covid-19,” katanya lagi.

Kim Shin turut merakamkan penghargaan kepada syarikat Airasia Berhad dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) atas kerjasama dan tindak balas yang pantas mengenai isu tersebut.

Beliau berharap kemudahan yang disediakan dapat membantu menangani masalah yang dihadapi rakyat.