SIBU: Pembinaan ruang aktif untuk bersukan dan beriadah, Sibu Active Youth Space (SAYS) di Dataran Tuanku Haji Bujang Fasa II telah bermula.

Perkara itu didedahkan oleh Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee ketika mengadakan tinjauan ke tapak tersebut di sini, kelmarin.

“Hari ini saya mengadakan tinjauan ke tapak pembinaan SAYS iaitu tempat skateplaza sepanjang 100 meter di Dataran Tuanku Haji Bujang Fasa II. Untukmu belia Sibu,” katanya.

‘Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata, taman pelbagai guna yang pertama di negeri ini akan dilengkapi kemudahan wifi percuma, dengan keluasan 15 meter dan 100 meter panjang.

Katanya, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk pembinaan taman papan selaju (skate park).

“Untuk kemudahan lain di taman itu seperti sukan berbasikal BMX dan taman kasut roda, taman aksi lasak ‘parkour’, kemudahan gimnastik, sukan memanjat dinding, teater terbuka, dan ruang tertutup untuk aktiviti e-sukan, dana akan diperuntukkan secara berperingkat-peringkat.

“Kemudahan-kemudahan lain itu tidak akan mengunakan peruntukan RM2.5 juta yang sebutkan tadi.

“Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan menjadi agensi pelaksana bagi projek ini dan kami berterima kasih kepada mereka atas kelulusan mereka yang membolehkan kemudahan itu dibina di sini.

“Kami akan memastikan kemudahan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan menjadi daya tarikan untuk belia,” katanya yang juga Adun Nangka.