Setelah beberapa perbincangan, saya dan rakan-rakan ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah mengambil ketetapan untuk berpegang kepada keputusan yang telah diambil akhir bulan Jun iaitu untuk menamakan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.

Walaupun Majlis Presiden Pakatan Harapan telah menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri ia tidak melibatkan saya dan rakan-rakan dari Bersatu mahupun Warisan.

Kami masih lagi berpegang kepada cadangan yang dibuat hasil dari perbincangan antara saya dengan pemimpin Warisan, Amanah dan DAP pada 25hb Jun, 2020.

Di dalam perbincangan itu, Amanah dan DAP telah mencadangkan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar serta Datuk Seri Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri Pertama dan Kedua.

Saya dan rakan-rakan dari Bersatu telah bersetuju dan menyokong cadangan tersebut. Ini kerana mahu menyelesaikan kebuntuan memilih calon yang sesuai dan mampu mendapatkan sokongan untuk mendapatkan kembali mandat rakyat dari Kerajaan sekarang.

Mesyuarat 25 Jun 2020, itu telah meminta saya membuat pengumuman mengenai keputusan memilih Datuk Seri Shafie dan saya telah lakukan pada 27 Jun 2020.

Setelah pengumuman dibuat, DAP dan Amanah bagaimanapun, apabila menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH pada 6 Julai 2020 telah tidak berpegang kepada keputusan menamakan Datuk Seri Shafie dan sebaliknya menamakan Datuk Seri Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Bagi pihak kami, mencalonkan Datuk Seri Shafie sebagai Perdana Menteri adalah satu langkah positif yang perlu diambil. Ia bukan sahaja kerana kita percaya dia akan berkeupayaan untuk mendapatkan sokongan majoriti tetapi juga satu langkah ke hadapan demi mempertingkat hubungan Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.

Kami juga membuat keputusan untuk kekal bersama Warisan sebagai blok bebas di dalam dan di luar Parlimen. Kami tidak bergabung dengan mana-mana gabungan.

Kami juga menentang sebarang usaha untuk menggantikan Speaker dan akan meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menubuh Kerajaan yang tidak dipilih rakyat.

Kami masih utama perjuangan asal kami iaitu menolak kembalinya Kerajaan kleptokrasi.

YB TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Ahli Parlimen Langkawi

YB DATO’ SERI UTAMA HJ MUKHRIZ TUN MAHATHIR
Ahli Parlimen Jerlun

YB SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Ahli Parlimen Muar

YB DR. MASZLEE MALIK
Ahli Parlimen Simpang Renggam

YB DATO’ WIRA AMIRUDDIN HAMZAH
Ahli Parlimen Kubang Pasu

YB DATUK DR. SHAHRUDDIN BIN MD SALLEH
Ahli Parlimen Sri Gading