SARATOK: Didapati memiliki dadah seorang lelaki berusia 30 tahun dicekup polis di sini petang semalam.

Tangkapan dilakukan oleh tiga anggota dari Balai Polis Saratok jam 5.58 petang.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin memberitahu pihak polis telah melakukan pemeriksan terhadap seorang lelaki yang dalam keadaan mencurigakan di kawasan tepi jalan raya di hadapan sebuah rumah tidak berpenghuni berdekatan pejabat JKR Saratok.

Kata Mordani, pemeriksaan dilakukan pihak polis terhadap satu beg bimbit berwarna hitam jenama Prada milik lelaki berkenaan dan telah menemui satu paket plastik lutsinar yang berisi 6 keratan straw berwarna merah jambu dan 2 keratan straw berwarna oren disyaki dadah syabu dengan anggaran berat kasar 0.8 gram.

Suspek kemudiannya ditahan atas kesalahannya dibawah Seksyen 12(2)ADB 1952.

Suspek telah dibawa ke Balai Polis Saratok untuk tindakan lanjut.