KUCHING: Mahkamah Sesyen semalam mengarahkan kes terhadap seorang lelaki tempatan yang didakwa terbabit dengan kes pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Seksyen Mohd Taufik Mohd Yusof mengarahkan kes terhadap tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana Mahkamah Sesyen tiada bidang kuasa untuk mendengar kes berkenaan terhadap tertuduh.

Namun tiada pengakuan diterima daripada tertuduh yang berusia 29 tahun itu. Tertuduh telah ditahan lanjut di Penjara Puncak Borneo, sementara menunggu kes disebut di Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26J Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang boleh dikenakan hukuman tidak melebihi lima tahun dan denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-dua kesalahan itu.

Tertuduh didakwa sebagai operator ataupun pemandu sebuah kereta terlibat membawa lima lelaki warga asing pada jam 12.40 pagi di Jalan Simpang Kampung Pasir Tengah Jalan Biawak dalam kawasan Lundu pada 13 Jun lalu.

Menurut ringkasan kes, pada 13 Jun 2020, jam 12.40 pagi di simpang Kampung Pasir Tengah, Lundu sepasukan anggota risikan Ibu Pejabat Briged Sarawak bersama-sama tiga anggota bantuan Pos Biawak telah melakukan Ops Benteng Covid.

Pemeriksaan pada sebuah kenderaan yang menuju ke arah Lundu mendapati lima lelaki warga Indonesia yang mengemukakan dokumen perjalanan dan pasport, namun tiada cop kemasukan.

Siasatan awal mendapati kenderaan itu telah disewa dengan kadar RM100 sehari untuk mengambil kesemua penumpang warga asing yang masuk ke Sarawak melalui jalan tikus di kawasan Biawak.

Kadar tambang dikenakan RM600 seorang bagi setiap perjalanan dan mereka akan dihantar ke Daerah Kuching dengan berhubung melalui telefon dengan lelaki warga Indonesia yang dikenali sebagai Musnip dari Aruk, Indonesia.

Kesemua warga asing berkenaan berjalan kaki dan diarahkan untuk menunggu di tempat yang telah ditetapkan di Kampung Biawak Lundu bagi memudahkan suspek menjemput sebelum menghantar mereka ke destinasi dengan menggunakan kenderaan yang disewa.