KUCHING: TV Sarawak mengalu-alukan penggiat industri kreatif menghantar hasil kreatif dan idea segar mereka untuk dipamerkan di platform TV Sarawak.

Menurut kenyataan penyiaran baharu itu pada Jumaat matlamat program “Pitch-It 2020” bertujuan menyediakan platform tempatan yang diharap dapat menghasilkan idea kreatif dan menarik berkait rapat dengan kisah tempatan 2.8 juta masyarakat negeri ini.

Kisah tersebut seharusnya dipamerkan melalui pelbagai program berlatarbelakangkan Sarawak untuk diketengahkan dan dipertontonkan di mata dunia.

Pitch-It 2020 menawarkan pelbagai kategori fiksyen seperti drama bersiri, telemovie, sitkom dan animasi.

Manakala genre bukan fiksyen adalah seperti dokumentari, rancangan majalah, rancangan realiti dan rancangan bual bicara.

Dalam hal berkaitan, peserta yang berminat boleh mengetahui lanjut kriteria semua genre tersebut di laman sesawang www.tvsarawak.com/pitchit.

Program “Pitch-It 2020 ini terbuka kepada individu dan syarikat yang berminat untuk disiarkan di TV Sarawak.

Bagi kategori individu, penyertaan terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang menetap di Sarawak dan berumur 18 tahun ke atas.

Manakala bagi kategori syarikat, ia mesti ditubuhkan di Malaysia dan berpusat di Sarawak dengan 50 peratus pemilikan dimiliki oleh rakyat Sarawak.

Borang penyertaan boleh dimuat turun dari pautan diberikan dan borang lengkap hendaklah dihantar ke e-mel hello@tvsarawak.com.

Tarikh akhir penyertaan adalah 6 Ogos 2020, pada hari Rabu.